Berita Harian – Muse Trishya & Co

KUALA LUMPUR: Pelakon Puteri Sarah Liyana, 38, enggan terburu-buru memikirkan soal pengganti selepas tiga bulan berpisah dengan bekas suami yang juga pengarah sensasi, Syamsul Yusof.

Puteri Sarah berkata, keutamaannya kini mencari duit membesarkan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4, hasil perkongsian hidup selama sembilan tahun dengan Syamsul.

“Saya tak terfikir langsung untuk mencari jodoh. Fokus sekarang mahu mencari duit dan menjadi kaya.

“Soal cinta tolak tepi dulu, saya nak cari duit sendiri. Bila sudah kaya barulah fikirkan soal mencari pengganti.

“Bila bergelar ibu, saya sudah tak fikir sangat soal diri sendiri, tetapi keutamaan lebih kepada anak-anak, kerjaya serta orang terdekat. Saya akan fikir pasal orang lain dulu, keperluan sendiri jatuh nombor dua.

“Lagipun, saya nak besarkan anak-anak, cinta itu nantilah. Kalau ada jodoh, adalah…,” katanya yang dilantik sebagai muse barang kemas jenama Trishya & Co, baru-baru ini.

Mengulas hubungan akrab dengan pelakon seberang yang juga rakan kongsinya, Andi Arsyil Rahman, Puteri Sarah pernah memberitahu, hubungannya dengan jejaka berusia 36 tahun itu hanyalah sebagai rakan kongsi.

Namun, bila diusik bagaimana sekiranya hubungan bertukar sebaliknya disebabkan kekerapan bertemu, Puteri Sarah hanya ketawa saat mendengar soalan diajukan kepadanya.

Katanya, dia kerap berjumpa dengan Andi, tetapi hubungan mereka atas dasar profesional memandangkan pelakon itu memiliki perniagaan produk kecantikan dan hijab.

“Secara kebetulan, Andi adalah pengeluar, jadi saya terfikir kenapa tidak ambil peluang jadi pengedar bagi pasaran tempatan.

“Insya-Allah, Andi akan ke Kuala Lumpur, bulan hadapan kerana kami merancang untuk membuka kilang bagi bagi menjimatkan kos untuk diedarkan ke Singapura.

“Persoalan jika hubungan rakan niaga bertukar menjadi cinta, itu kita tengoklah nanti. Lagipun, saya berkawan dengan semua orang dan tak mahu dilabel tak sedar diri,” katanya.

Source : Berita harian 

Shopping Cart0

Cart